Description
Mahkamah Tinggi Butterworth: Mahkamah ini berpendapat bahawa lokasi sebenar barang kes dijumpai adalah satu fakta yang material, maka ianya mestilah dibuktikan dengan kukuh, jelas dan konsisten oleh saksi-saksi pendakwaan. Memandangkan saksi-saksi pendakwaan sendiri tidak konsisten tentang kedudukan barang kes semasa ianya dijumpai, maka inferens terhadap milikan dan pengetahuan menjadi tidak selamat.
Faedah keraguan haruslah diberikan kepada pihak Perayu. Selain dari itu adalah jelas melalui keterangan yang dikemukakan dalam kes ini menunjukkan bahawa Thiru adalah satu watak yang benar-benar wujud dan boleh menjadi saksi yang penting bagi pihak pendakwaan untuk menyangkal dakwaan Perayu bahawa dadah itu bukan miliknya. Mahkamah ini berpendapat bahawa Majistret telah gagal memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap kesan kegagalan siasatan keatas Thiru. Berhubung isu kegagalan menyiasat Telefon Bimbit dan Dusting, Mahkamah ini berpendapat bahawa dalam kes biasa, kegagalan merampas atau menganalisis telefon bimbit tidak semestinya membawa kepada keraguan munasabah. Namun dalam kes ini, pembelaan Perayu bergantung kepada komunikasinya dengan Thiru. Maka telefon bimbit tersebut bukanlah satu isu sampingan. Ia berpotensi menyokong atau menolak versi Perayu.
Kegagalan menyiasat aspek ini menyebabkan satu ruang pembelaan yang material tidak disemak secara objektif. Begitu juga dengan isu dusting atau pengesanan cap jari terhadap barang kes. Mahkamah ini menerima hujahan Responden bahawa ketiadaan cap jari atau DNA tidak semestinya menjejaskan kes pendakwaan jika terdapat keterangan lain yang kukuh. Namun dalam kes ini, apabila wujud pembelaan khusus bahawa Thiru telah berada di dalam kenderaan dan barang kes bukan milik Perayu, maka ujian saintifik sedemikian boleh membantu untuk menentukan sama ada barang kes pernah disentuh oleh Perayu atau individu lain. Mahkamah ini menegaskan bahawa kegagalan tersebut bukan secara automatik membebaskan Perayu, tetapi apabila dibaca bersama percanggahan lokasi barang kes, kegagalan menyiasat Thiru, tiada pemeriksaan kesan cap jari, maka kegagalan tersebut menguatkan bahawa wujudnya keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
G. Prinsip Undang-Undang.
[13] Bagi pertuduhan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, pihak pendakwaan hendaklah membuktikan bahawa bahan yang dirampas adalah dadah berbahaya, berada dalam milikan atau kawalan tertuduh dan tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap kewujudan dan sifat dadah tersebut.
[14] Dalam konteks milikan, prinsipnya jelas bahawa kawalan fizikal semata-mata tidak mencukupi. Pihak pendakwaan hendaklah
membuktikan kawalan atau jagaan yang disertai pengetahuan. Pengetahuan boleh dibuktikan melalui keterangan langsung atau inferens daripada keadaan sekeliling. Namun inferens tersebut
mestilah satu-satunya inferens munasabah yang boleh dibuat berdasarkan keseluruhan keterangan.
[15] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah hendaklah membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pendakwaan. Soalan asasnya ialah sama ada, jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, adakah Mahkamah bersedia mensabitkan tertuduh berdasarkan keterangan pendakwaan yang ada. Jika jawapannya tidak, maka prima facie tidak dibuktikan dan tertuduh tidak sepatutnya dipanggil membela diri.
[16] Di akhir kes pembelaan pula, Mahkamah hendaklah menilai keseluruhan keterangan pendakwaan dan pembelaan, dan menentukan sama ada kes pendakwaan telah dibuktikan
melampaui keraguan munasabah. Mahkamah ini merujuk prinsip di dalam kes tersohor, Mat v Public Prosecutor [1963] 1 MLJ 263bahawa Mahkamah hendaklah membebaskan tertuduh sekiranya
pembelaan, walaupun tidak diterima sepenuhnya, masih menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
[17] Mahkamah Rayuan juga berulang kali menegaskan bahawa dalam kes jenayah, apabila wujud dua inferens yang munasabah daripada fakta yang sama, inferens yang memihak kepada tertuduh hendaklah dipilih. Ini amat penting dalam kes milikan dadah kerana sabitan tidak boleh diasaskan kepada andaian, kecurigaan atau sangkaan semata-mata.......
Di mana barang kes dijumpai?
[21] Adalah tidak diragui bahawa barang kes telah dijumpai di dalam kereta Perayu. Namun persoalan penting adalah di bahagian manakah barang kes tersebut dijumpai dan sama ada kedudukannya membolehkan inferens yang selamat dibuat
bahawa Perayu mempunyai pengetahuan dan kawalan terhadapnya.
[22] Dalam Alasan Penghakiman, dapatan Majistret bahawa barang kes dijumpai di bahagian tengah ruangan tempat letak air dalam kereta tersebut. Namun, Mahkamah ini mendapati semasa SP2
disoal balas, beliau telah merujuk kepada gambar P13(E) dan P13(F) dan menyatakan barang kes ditemui di bahagian belakang
[23] Sebaliknya, SP4 menyatakan barang kes dijumpai di tempat letak air di hadapan gear seperti dalam gambar IDD15(A-B). Selanjutnya SP4 bersetuju bahawa terdapat percanggahan berhubung tempat barang kes dijumpai.
[24] Mahkamah ini berpendapat bahawa percanggahan tersebut bukan percanggahan kecil atau remeh. Tambahan pula pihak pendakwaan banyak bergantung kepada kedudukan barang kes dalam kereta bagi menimbulkan inferens bahawa Perayu mempunyai kawalan dan pengetahuan.
[25] Mahkamah ini berpendapat bahawa lokasi sebenar barang kes dijumpai adalah satu fakta yang material, maka ianya mestilah dibuktikan dengan kukuh, jelas dan konsisten oleh saksi-saksi
pendakwaan.
[26] Memandangkan saksi-saksi pendakwaan sendiri tidak konsisten tentang kedudukan barang kes semasa ianya dijumpai, maka inferens terhadap milikan dan pengetahuan menjadi tidak selamat.
Faedah keraguan haruslah diberikan kepada pihak Perayu.
[27] Dalam isu ini Responden berhujah bahawa percanggahan tersebut tidak material kerana barang kes tetap dijumpai di dalam kereta milik Perayu. Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan Responden kerana walaupun Perayu merupakan pemilik kereta tersebut pada masa dia ditahan, ianya tidak secara automatik membuktikan Perayu memiliki dadah tersebut, khususnya apabila
terdapat versi pembelaan ada individu lain yang telah berada di dalam kereta sebelum Perayu ditangkap.
[28] Dalam keadaan sedemikian, kedudukan sebenar barang kes menjadi penting bagi menentukan sama ada Perayu mengetahui dan mempunyai kawalan sebenar terhadap barang kes itu.
Kehadiran Dan Peranan Thiru.
[29] Pihak pembelaan dari peringkat awal telah mengemukakan pembelaan bahawa Thiru ada bersamanya pada malam tersebut sebelum Perayu ditangkap.
[30] Perayu telah memberikan satu versi yang khusus bahawa pada malam tersebut Thiru telah berada bersama Perayu kerana Thiru diminta untuk membaiki masalah wiring atau fius cermin kereta
Perayu. Thiru berada di dalam kereta tersebut sebelum dia beredar sejurus sebelum Perayu ditangkap.
[31] Mahkamah ini berpandangan bahawa pembelaan Perayu berkaitan kehadiran Thiru tidak boleh dikatakan sebagai rekaan semata-mata atau penafian kosong bahawa dadah tersebut bukan
milik Perayu.
[32] Versi pembelaan ini telah menamakan individu tertentu, serta memberikan konteks mengapa Perayu berada di tempat kejadian pada waktu malam. Perayu juga menyatakan bahawa Thiru telah menghisap dadah di dalam kenderaan dan kemudian beredar sebelum polis tiba.
[33] Mahkamah mendapati isu mengenai kewujudan Thiru telah dikemukakan dalam percakapan beramaran Perayu dan SP4 mengesahkan kewujudan Thiru. SP4 dalam keterangannya menyatakan bahawa pada awal siasatan beliau tidak menyiasat Thiru, tetapi kemudiannya siasatan dibuat dan beliau mengetahui rumah Thiru. Ini menunjukkan bahawa Thiru bukan satu watak kosong yang muncul secara tiba-tiba dalam kes pembelaan.
[34] Mahkamah perbicaraan seharusnya memberi pertimbangan yang serius atas isu ini apabila pihak pembelaan telah menamakan individu tertentu sebagai orang yang ada kaitan dengan barang kes, dan individu itu berada di dalam kereta sebelum Perayu ditangkap.
[35] Pegawai penyiasat sepatutnya mengambil langkah munasabah untuk mengesahkan atau menolak versi tersebut. Kegagalan menjalankan siasatan yang rapi terhadap Thiru telah
meninggalkan satu keraguan munasabah yang tidak dijawab oleh pendakwaan.
[36] Dalam Alasan Penghakiman juga jelas menunjukkan bahawa Majistret telah menolak pembelaan Perayu yang antara lain atas alasan bahawa Perayu, sebagai seorang anggota polis narkotik, sepatutnya menahan Thiru jika benar Thiru menghisap dadah di dalam kereta Perayu.
[37] Mahkamah ini berpendapat bahawa pendekatan oleh Majistret yang tersebut adalah tidak tepat dan ianya tidak menjawab isu teras dalam kes ini. Isu di hadapan Mahkamah bukanlah sama ada Perayu sebagai anggota polis telah bertindak sempurna, tetapi sama ada pendakwaan telah membuktikan bahawa Perayu memiliki dan mengetahui dadah tersebut.
[38] Mahkamah berpendapat bahawa kegagalan Perayu menahan Thiru boleh menjadi faktor dalam menilai tingkah laku dan kebolehpercayaan pembelaan, tetapi tidak boleh digunakan untuk
menggantikan beban pendakwaan membuktikan milikan dan pengetahuan.
[39] Dalam meneliti dan menilai isu kewujudan Thiru dan pemilikan dadah, adalah jelas melalui keterangan yang dikemukakan menunjukkan Thiru adalah satu watak yang benar-benar wujud dan boleh menjadi saksi yang penting bagi pihak pendakwaan untuk menyangkal dakwaan Perayu bahawa dadah itu bukan miliknya. Mahkamah ini berpendapat bahawa Majistret telah gagal memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap kesan kegagalan siasatan keatas Thiru.
Kegagalan Menyiasat Telefon Bimbit Dan Dusting (Pengesanan Cap Jari).
[40] Pihak Perayu berhujah bahawa telefon bimbit Perayu adalah sangat penting untuk disiasat kerana ia boleh menunjukkan komunikasi antara Perayu dan Thiru sebelum kejadian. SP2 dikatakan menyimpan telefon bimbit Perayu untuk mengelakkan Perayu menghubungi orang lain, tetapi telefon itu tidak diserahkan kepada SP4 untuk siasatan dan analisis lanjut.
[41] Mahkamah ini berpendapat bahawa dalam kes biasa, kegagalan merampas atau menganalisis telefon bimbit tidak semestinya membawa kepada keraguan munasabah. Namun dalam kes ini,
pembelaan Perayu bergantung kepada komunikasinya dengan Thiru. Maka telefon bimbit tersebut bukanlah satu isu sampingan. Ia berpotensi menyokong atau menolak versi Perayu.
Kegagalan menyiasat aspek ini menyebabkan satu ruang pembelaan yang material tidak disemak secara objektif.
[42] Begitu juga dengan isu dusting atau pengesanan cap jari terhadap barang kes. Mahkamah ini menerima hujahan Responden bahawa ketiadaan cap jari atau DNA tidak semestinya menjejaskan kes pendakwaan jika terdapat keterangan lain yang kukuh.
[43] Namun dalam kes ini, apabila wujud pembelaan khusus bahawa Thiru telah berada di dalam kenderaan dan barang kes bukan milik
Perayu, maka ujian saintifik sedemikian boleh membantu untuk menentukan sama ada barang kes pernah disentuh oleh Perayu atau individu lain.
[44] Mahkamah ini menegaskan bahawa kegagalan tersebut bukan secara automatik membebaskan Perayu, tetapi apabila dibaca bersama percanggahan lokasi barang kes, kegagalan menyiasat Thiru, tiada pemeriksaan kesan cap jari, maka kegagalan tersebut menguatkan bahawa wujudnya keraguan munasabah dalam kes
pendakwaan.
Yang Arif Puan Fathiyah binti Idris, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di Butterworth dalam kes Shuhaimi Sulaiman lwn Pendakwa Raya bertarikh pada 21 Jun 2026.